Thursday 19 April 2012

Doa

Doa Nabi Adam a.s:

Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi". (7:23)



Doa Nabi Ibrahim a.s:

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; (1:127)
"Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani; (1:128)
"Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". (1:129)



Doa Nabi Yunus a.s:

 Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri". (21:87)




Doa Nabi Yusuf a.s:


"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh". (12:101)


Doa Nabi Muhammad s.a.w:


"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Mu dari ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak pernah kusyuk, dari jiwa yang tidak pernah kenyang, serta dari doa yang tidak pernah di kabulkan. 
hadist ini di riwayatkan oleh Ahmad Al-Fathu 'r-Robbani (XIV/301), Muslim (2722) dan Nasai (5473).


Kesemua doa nabi-nabi ini berkenaan dengan taubat dan memohon keampunan, sedangkan mereka telah di jamin suci dari dosa dan akan di tempatkan di syurga. layakkah kita meminta lebih dari ini? 


Mohonlah keampunan Allah s.w.t. ... kerana itu lebih utama dari yang lain-lain.

Thursday 8 September 2011

Rumah Impian

Berusahalah sentiasa menjadi hamba yang terbaik


Pernahkah terdengar kisah tukang kayu yang berhasrat untuk berhenti dari pekerjaannya. Lalu tuannya memohon tukang kayu membina sebuah rumah. Kerana terpaksa, tumpuan tidak di curah sepenuhnya dan dia melakukannya dengan sambil lewa. Akhirnya, tuannya menyerahkan seberkas kunci kepada si tukang kayu, "Inilah rumahmu, hadiah dari aku."Betapa terkejut dan menyesalnya dia di saat itu.

Itulah yang terjadi kepada kehidupan kita. Kadangkala, banyak dari kita yang membangunkan kehidupan kita sendiri dengan cara yang membingungkan dan kurang bertanggungjawab. Lebih memilih berusaha ala kadar berbanding mengusahakanya dengan yang terbaik. Bahkan, pada bahagian-bahagian terpenting dalam hidup kita tidak berusaha yang melakukan yang terbaik. Pada akhir perjalanan, kita pasti terkejut saat melihat apa yang telah kita lakukan. Rupa-rupanya kita menemui hidup kita di dalam sebuah rumah yang kita ciptakan sendiri.

Seandainya kita menyedari sejak awal, kita pasti akan menjalani hidup ini dengan cara berbeza. Renungkanlah bahawa kita adalah si tukang kayu. Renungkanlah 'rumah' yang sedang kita bina. Setiap hari kita mengetuk paku, memasang papan, mendirikan dinding dan atap. Mari kita selesaikan 'rumah' kita dengan sebaik-baiknya seolah-olah hanya mengerjakannya sekali sahaja seumur hidup.

~di ambil dari majalah blues, terlupa pula untuk mencatat untuk isu ke berapa~

Nota saya: Bayangkanlah 'rumah' yang kita bina sekarang adalah rumah yang kita akan duduki di akhirat kelak, pilihan terletak ditanga kita samaada di syurga, atau di neraka, yang paling dekat dengan Allah atau yang jauh dengan Allah kedudukannya.Semoga kita ambil iktibar bersama.

*Nasihat ini adalah peringatan untuk diri saya yang sentiasa lalai* 

Wednesday 8 June 2011

Mencari Bahagia



Antara sedar dengan tidak, antara bersedia atau tidak, antara sabar atau tidak, sebagai manusia kita seringkali diuji untuk mengukur tahap keimanan kita kepada Allah s.w.t. Adakah kita bersyukur dengan apa yang Allah s.w.t kurniakan pada kita? Adakah kita bersabar dengan ujian yang Allah berikan pada kita? Sendiri tanya sendiri jawab.

Sebenarnya seringkali terjadi saya "ter"lupa untuk bersyukur dengan kelebihan, kesenangan serta kemewahan yang Allah s.w.t kurniakan untuk saya. Malah lebih teruk lagi, antara sengaja dengan tidak, saya meratapi pemergian nikmat yang di tarik semula oleh Allah s.w.t setelah di pinjamkan Allah s.w.t beberapa ketika. Juga kadangkala saya merintih mengenangkan apakah dosa saya dan mengapakah Allah s.w.t tidak memberi nikmat kesenangan kepada saya seperti kawan-kawan yang lain. Ini jawapan ikhlas dari diri saya sendiri. Jawapan anda seperti saya? Tepuk dada, tanyalah iman masing-masing.

Kalau jawapanya seperti yang diatas, ia memang menunjukkan betapa lemahnya iman seorang manusia. Minta dijauhkan jawapan ini daripada kita-kita semua.

Carilah bahagia kita dengan cara kita sendiri. Bersyukur dengan apa yang ada adalah salah satu cabang untuk kita mencari bahagia. Bersabar dengan kesusahan, kesedihan, kepenatan, keletihan, kesakitan dan segala kepedihan hidup juga adalah cabang untuk mencari bahagia. Bahagia itu datang melalui hati. Jagalah hati, kendalikanlah ia dengan baik.

Bagaimana mencari bahagia? Dibawah ini ingin saya kongsikan kaedah mencari bahagia menurut Al-Qur’an dan As-Sunnah, dipetik dari Majalah Solusi Edisi ke-6.

***


Beriman dan beramal soleh

Sesiapa yang beramal soleh baik lelaki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan. [Surah al-Nahl, Ayat 97]

Ibnu ‘Abbas r.a. meriwayatkan bahawa segolongan ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal (halalan tayyiban).
Saidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qanaah (berasa cukup)
Ali bin Abi Talhah dari Ibn ‘Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu ialah kebahagiaan.

Banyak mengingat Allah

Dengan berzikir, kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekaligus bebas dari rasa gelisah dan gundah-gulana.

Ketahuilah denagn mengingat (berzikir) kepada Allah s.w.t akan tenang hati itu. [Surah al-Ra’d, Ayat 28]

Bersandar kepada Allah s.w.t

Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa.

Siapa yang bertawakal kepada Allah s.w.t maka Allah akan mencukupinya. [Surah al-Talaq, Ayat 3]

Sentiasa mencari peluang berbuat baik

Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk perbuatan ataupun ucapan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah s.w.t, akan memberi ketenangan hati.

Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang (menyuruh) manusia untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan diantara manusia. Barangsiapa yang melakukan hal itu mengharapkan keredhaan Allah s.w.t, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar.[Surah An-Nisa’, Ayat 14]

Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan meratapi masa silam

Fikir, tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan tentang masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah atau kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu, kerana apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula.

Rasullullah bersabda, maksudnya “Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagimu dan minta tolonglah kepada Allah s.w.t. dan janganlah lemah. Apabila menimpa pada kamu akan sesuatu (daripada perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu, tetapi katakanlah: Allah s.w.t telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan. Kerana sesungguhnya kalimat “seandainya” itu membuka kepada amalan syaitan.”[Riwayat Muslim]

Melihat kelebihan, dan bukan kekurangan diri

Lihatlah orang yang dibawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki. Kerana dengan begitu, kita tidak akan meremehkan nikmat Allah s.w.t yang di berikan kepada kita.

Rasullullah bersabda, maksudnya, Lihatlah orang yang dibawah kamu dan janganlah melihat orang yang diatas kamu kerana (dengan melihat ke bawah) lebih mudah untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah s.w.t yang dilimpahkanNya kepada kamu. [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Jangan mengharap ucapan terima kasih manusia

Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan terima kasih atau balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah s.w.t kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada antara hukama berkata, “Sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih dari manusia, nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa.”

Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu hanyalah kerana Allah s.w.t semata-mata, kami tidak berkehendakkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih” [Surah al-Insan, Ayat 9]

***


Sekian huraian ringkas mengenai kaedah mencari bahagia menurul Al-Quran dan As-Sunnah, Bagaimana? Rasa lebih tenang dan bahagia sekarang? Semoga kita sentiasa berada di dalam golongan-golongan insan yang sentia sa bersyukur. *ini adalah nasihat untuk saya yang selalu lalai*




Tuesday 7 June 2011

Tetamuku Subuh



Cerpen ini adalah antara risalah-risalah cerpen yang saya simpan dan saya jadikan koleksi. Kalau tidak salah saya, saya dapat risalah cerpen ini sewaktu menyertai ibadah kem satu ketika dahulu. Jom baca cerpen ini. Semoga kita mendapat manfaat atas apa yang saya pernah baca dan saya kongsikan ini.

***
Pada pagi itu, seperti pagi-pagi yang lain, aku menyambut tetamu setiaku.

“Assalamualaikum.” Seru Subuh.

“Waalaikummussalam.” Sahutku.

Dan kami terus berpelukan untuk mengubat kerinduan dan sebagai lambang kasih sayang. Ku tanya khabar Subuh, bagaimanakah keadaannya mengembara dari satu tempat ke satu tempat.

“Tadi…” kata Subuh dengan sayu… “Aku baru sahaja melintasi rumah yang sunyi sepi, tiada satupun yang mahu menerimaku sebagai tetamu.” Airmata Subuh pun berlinang.

“Subuh, usah pedulikan mereka. Bukankah aku menyambutmu dengan penuh kegembiraan?” Subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringatkan sesuatu.

“Oh ya, tadi aku lalu di suatu tempat yang tanahnya disebalik sungai. Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kesukaan. Menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat dan melegakan. Hidangan yang paling aku sukai ialah buah Tahajjud. Puas aku cari di bumi lain, tapi jarang ku jumpai. Di situ, aku meratah buah Tahajjud dengan puas serta leka.” Kemudian, dia merenungku mengharapkan sesuatu. Aku faham maksud Subuh.

“Maaf Subuh, Aku tidak menanam pokok al-Lail. Jadi, aku tidak dapat menjamu mu dengan buah yang engkau sukai, tapi aku mempunyai roti Siyyam,” maklumku kepada Subuh.

Subuh menolak dengan hormat. “Roti itu sudah ada tuan punyanya,” kata Subuh.

“Adakah kau mahu manisan zikir?” Rayuku kepada Subuh.

“Baiklah, ambilkan aku sedikit serta bawakan segelas airmata taubat,” pinta Subuh.

Aku agak sugul. Bagaimana harus aku beritahu kepada Subuh yang airmata tangisan sudah hamper kering akibat kemarau maksiat yang berpanjangan? Namun, aku tetap menjenguk ke dalam perigi yang menyimpan airmata tersebut. Aku terkejut apabila melihat perigi itu telah hampir separuh penuhnya. Dan hatiku berdetik. Adakah ini tandanya kemarau akan berakhir? Tanpa berlengah lagi, aku bawa air itu kepada Subuh, tetamu yang ku sanjung dan ku suakan manisan seperti yang dipintanya. Selesai menjamah semuanya, Subuh pun melirikkan sebuah senyuman.

“Subuh”, seruku. “mahukah kau tinggal selama-lamanya denganku? Aku memerlukan teman di kala kesunyian. Akan ku layan kau dengan sebaik-baiknya, wahai Subuh,”

Subuh tersenyum membayangkan permintaan ku tidak akan di penuhi.

“aku perlu menziarahi ramai orang dan ramai yang memerlukan kehadiranku untuk mengubat rindu sepertimana aku mengulit mimpimu,”

Aku akur dengan penjelasan Subuh. “Subuh.” Seruku lagi apabila melihat Subuh bersiap-siap untuk pergi.
“Sudikah engkau menziarahiku lagi esok hari?”

“InsyaAllah”’jawab Subuh. “Bukankah aku kekasih yang kau rindui?”

Subuh berangkat dengan lambat, tetapi tetap.

“Assalamualaikum,” seru Subuh.

“Waalaikummussalam” jawabku kembali. Mataku terus meniti langkah Subuh yang semakin jauh dan akhirnya, Subuh hilang dari pandangan.

P/s: apa agaknya keluh kesah Zohor, Asar, Maghrib dan Isya’ ya? Sama-samalah kita muhasabah diri.

***
Inilah antara cerpen yang saya akan ulang baca setiap kali saya mengulang baca koleksi-koleksi risalah tazkirah yang pernah saya terima. Sungguh terharu membaca cerpen ini. Bagai terkena batang hidung sendiri. Sungguh rapuhnya iman saya, sungguh sikitnya amalan saya. Adakah saya terdiri dari manusia-manusia yang tidak mensyukuri nikmat Allah s.w.t. Adakah saya tidak takut kemurkaan Allah s.w.t atas dosa-dosa yang pernah saya lakukan? Kini saya sudah kongsikan dengan pembaca-pembaca sekelian. Moga kita dapat manfaat dari peringatan yang diberikan dalam cerpen ini. *ini adalah nasihat untuk diri saya yang selalu lalai*






Cerita Solat





Kisah ini saya ambil dari bacaan majalah kegemaran saya, Majalah solusi edisi ke-6. Semoga saya dan saudara-saudari yang membaca hasil bacaan yang saya kongsikan ini mendapat manfaat di dunia serta di akhirat nanti

Kisah 1

Seorang wanita dari kaum bani Israel datang kepada Nabi Musa a.s dan berkata, “Ya Rasul Allah! Sesungguhnya aku telah melakukan dosa besar, tetapi aku telah bertaubat kepada Allah s.w.t. Maka doakanlah bagiku semoga Allah s.w.t mengampuni dosaku dan menerima taubatku.”

Lalu Nabi Musa a.s pun bertanya kepada wanita itu: Apakah dosa yang telah engkau lakukan itu?

Wanita itu menjawab: Ya Rasul Allah, Sesungguhnya aku telah berzina, kemudian aku melahirkan seorang anak, dan aku telah membunuh anak itu.

Maka Nabi Musa a. s. lalu murka, seraya mengatakan kepada wanita itu, “Pergi engkau dari sini sekarang juga, hai wanita yang berdosa dan penzina! Semoga Allah tidak menurunkan api dari langit yang akan membakar kami semua di sebabkan oleh perbuatan kamu yang keji itu.”

Maka, pergilah wanita itu dari penghadapan Nabi Musa a.s. dalam keadaan sedih. Ketika itu, datanglah malaikat Jibril a.s turun membawa wahyu, sambil mengatakan kepada Nabi Musa a.s. “Hai Musa, Allah s.w.t menyuruhku menyampaikan firmanNya kepadamu: ‘Mengapakah engkau menghalau wanita yang bertaubat itu, hai Musa! Bukankah engkau masih boleh dapati orang yang lebih jahat lagi daripada wanita itu di muka bumi ini?”

Nabi Musa a.s terpegun sebentar lalu bertanya Jibril a.s: “Siapa pula orang yang lebih jahat daripada wanita itu?”

Jibril a.s menjawab: Dia itulah ORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT DENGAN SENGAJA.


Kisah 2

Kisah Dipetik daripada al-Kaba’ir oleh Imam al-Zahabi:

Seorang lelaki menziarahi saudara perempuannya yang meninggal dunia. Dalam pada dia menolong menguburkan jenazah saudaranya itu, dompet wangnya terjatuh ke dalam liang kubur tanpa disedari sesiapa, sehingga masing-masing pulang ke rumah. Apabila dia tersedar dompetnya tiada, terus dia mengagak dompetnya itu sudah terjatuh dalam liang kubur saudaranya itu.

Dia kembali ke kubur dan terus menggali kubur itu semula. Namun alangkah terperanjatnya, dari dalam kubur itu memancarkan api yang menyala-nyala. Segera ditimbusnya kembali kubur itu dengan tanah.

Dengan takjub dan rasa kesal, dia kembali ke rumah menemui ibunya sambil menangis teresak-esak dan berkata, “Oh ibu, ceritakanlah padaku hal saudara perempuanku ini dan amal yang telah dikerjakannya selama ini.” Si ibu agak terperanjat dan bertanya, “Mengapakah engkau bertanya begitu?”

Katanya “Saya dapati dari kuburnya keluar api”. Dan dia menceritakan apa yang dilihatnya.

Mendengar cerita itu, lalu si ibu menangis dan berkata, “Anakku, pada pemerhatianku, saudara perempuanmu itu tidak buat apa-apa selain DIA SUKA MEREMEHKAN WAKTU SOLAT DAN MELEWATKAN SOLAT PADA WAKTU YANG SEPATUTNYA.”

Begitulah ditunjukkan Allah s.w.t balasan orang yang melewatkan solat. Persoalannya, itu hanya melewatkat solat, maka bagaimana pula halnya orang yang tidak bersolat sama sekali?

Kita bermohon kepada Allah s.w.t semoga Dia memberikan kita Taufik supaya menjadi kalangan orang yang menjaga solat.

***
Demikianlah cerita tentang solat yang ingin saya kongsikan dari hasil pembacaan saya. Sekarang adakah perbezaan pada ilmu dan amal kita setelah setelah membaca kedua-dua cerita di atas? Allah s.w.t terimakah semua solat-solat kita? Bagaimana solat-solat yang tertinggal? Sudah diqadakah? Bagaimana pula selepas-selapas ini? Masih ada masakah untuk kita memperbaiki solat-solat kita? Ada satu hadis yang biasa saya dengar ketika saya masih lagi bersekolah rendah dahulu.

“Perkara pertama yang akan dihisab dari seorang hamba pada hari perhitungan adalah solat. Jika solatnya baik, maka akan baik seluruh amalnya. Jika solatnya rosak, maka akan rosak seluruh amalnya” (diriwayatkan oleh Al-Tirmidhi, Bayhaqi, Nisa’i).

Juga ada satu frasa ayat yang di tuliskan di van jenazah yang membuatkan hati berasa kecut jika saya terlihat.

“Bersolatlah kamu sebelum kamu disolatkan”


Semoga Allah s.w.t sentiasa menjaga iman kita semua *nasihat ini adalah untuk diri saya yang selalu lalai*


Monday 6 June 2011

Dimulakan dengan bismillah

Surah Al-Alaq



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1)

Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2)

Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3)

Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4)

Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)

Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya), (6)
Dengan sebab dia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (7)

(Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmulah tempat kembali (untuk menerima balasan). (8)

Adakah engkau nampak (baiknya) orang yang melarang (dan menghalang); (9)

Seorang hamba Allah apabila dia mengerjakan sembahyang? (10)

Adakah engkau nampak (buruknya) jika dia berada di atas jalan yang betul? (11)

Atau dia menyuruh orang bertakwa (jangan melakukan syirik)? (12)

Adakah engkau nampak (terlepasnya dari azab) jika dia mendustakan (apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad kepadanya) serta dia berpaling ingkar? (13)

Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat (segala amal perbuatannya dan membalasnya)? (14)

Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika dia tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam Neraka); (15)

Ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah. (16)

Kemudian biarlah dia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya); (17)

Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya). (18)

Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)! / (19)

***
Surah Al-Alaq adalah surah ke-96 dalam Al-Quran. Surah ini adalah wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Surah ini adalah surah Makkiyah iaitu diwahyukan ketika Nabi Muhammad s.a.w berada di Makkah. Ayat 1 sehingga ayat 5 adalah ayat Al-Qur’an pertama sekali yang di turunkan setelah lebih kurang 6 bulan Nabi Muhammad berulang alik untuk mengasingkan diri beribadat di Gua Hirak. Secara keseluruhannya, surah ini mengandungi 19 ayat seperti yang di tunjukkan di atas. Surah ini dinamakan Surah Al-Alaq iaitu bermaksud segumpal darah. Ia diambil dari perkataan Alaq yang terdapat dalam ayat kedua dalam surah ini. Surah ini juga biasanya di gelar Iqra’ sempena perkataan pertama dalam surah ini.

***

Seperti perkataan pertama dalam surah ini, Allah s.w.t menyuruh manusia untuk membaca. Membaca bukan hanya bermakna memBACA sahaja, tetapi membaca yang dimaksudkan disini ialah membaca untuk belajar. Belajar dari tidak tahu kepada tahu. Belajar dari Allah s.w.t. Bagaimana mahu belajar dari Allah s.w.t? Belajar dari guru, iaitu makhluk Allah s.w.t. Belajar dari buku, iaitu penulisnya adalah dari Allah s.w.t. Belajar dari pemerhatian, iaitu pancaindera yang dikurniakan Allah s.w.t. Guru, penulis, serta pancaindera adalah perantara kita dengan Allah s.w.t. Yang mengajarkan kita itu ialah Allah s.wt. seperti yang termaktub dalah surah ini pada ayat yang kelima, “Dia mengajarkan manusia, apa yang tidak diketahuinya.”

***

Marilah kita membaca dan belajar dari sesuatu yang boleh memanfaatkan hidup kita seluruhnya *nasihat untuk diri saya yang sentiasa lalai*