Tuesday 7 June 2011

Cerita Solat





Kisah ini saya ambil dari bacaan majalah kegemaran saya, Majalah solusi edisi ke-6. Semoga saya dan saudara-saudari yang membaca hasil bacaan yang saya kongsikan ini mendapat manfaat di dunia serta di akhirat nanti

Kisah 1

Seorang wanita dari kaum bani Israel datang kepada Nabi Musa a.s dan berkata, “Ya Rasul Allah! Sesungguhnya aku telah melakukan dosa besar, tetapi aku telah bertaubat kepada Allah s.w.t. Maka doakanlah bagiku semoga Allah s.w.t mengampuni dosaku dan menerima taubatku.”

Lalu Nabi Musa a.s pun bertanya kepada wanita itu: Apakah dosa yang telah engkau lakukan itu?

Wanita itu menjawab: Ya Rasul Allah, Sesungguhnya aku telah berzina, kemudian aku melahirkan seorang anak, dan aku telah membunuh anak itu.

Maka Nabi Musa a. s. lalu murka, seraya mengatakan kepada wanita itu, “Pergi engkau dari sini sekarang juga, hai wanita yang berdosa dan penzina! Semoga Allah tidak menurunkan api dari langit yang akan membakar kami semua di sebabkan oleh perbuatan kamu yang keji itu.”

Maka, pergilah wanita itu dari penghadapan Nabi Musa a.s. dalam keadaan sedih. Ketika itu, datanglah malaikat Jibril a.s turun membawa wahyu, sambil mengatakan kepada Nabi Musa a.s. “Hai Musa, Allah s.w.t menyuruhku menyampaikan firmanNya kepadamu: ‘Mengapakah engkau menghalau wanita yang bertaubat itu, hai Musa! Bukankah engkau masih boleh dapati orang yang lebih jahat lagi daripada wanita itu di muka bumi ini?”

Nabi Musa a.s terpegun sebentar lalu bertanya Jibril a.s: “Siapa pula orang yang lebih jahat daripada wanita itu?”

Jibril a.s menjawab: Dia itulah ORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT DENGAN SENGAJA.


Kisah 2

Kisah Dipetik daripada al-Kaba’ir oleh Imam al-Zahabi:

Seorang lelaki menziarahi saudara perempuannya yang meninggal dunia. Dalam pada dia menolong menguburkan jenazah saudaranya itu, dompet wangnya terjatuh ke dalam liang kubur tanpa disedari sesiapa, sehingga masing-masing pulang ke rumah. Apabila dia tersedar dompetnya tiada, terus dia mengagak dompetnya itu sudah terjatuh dalam liang kubur saudaranya itu.

Dia kembali ke kubur dan terus menggali kubur itu semula. Namun alangkah terperanjatnya, dari dalam kubur itu memancarkan api yang menyala-nyala. Segera ditimbusnya kembali kubur itu dengan tanah.

Dengan takjub dan rasa kesal, dia kembali ke rumah menemui ibunya sambil menangis teresak-esak dan berkata, “Oh ibu, ceritakanlah padaku hal saudara perempuanku ini dan amal yang telah dikerjakannya selama ini.” Si ibu agak terperanjat dan bertanya, “Mengapakah engkau bertanya begitu?”

Katanya “Saya dapati dari kuburnya keluar api”. Dan dia menceritakan apa yang dilihatnya.

Mendengar cerita itu, lalu si ibu menangis dan berkata, “Anakku, pada pemerhatianku, saudara perempuanmu itu tidak buat apa-apa selain DIA SUKA MEREMEHKAN WAKTU SOLAT DAN MELEWATKAN SOLAT PADA WAKTU YANG SEPATUTNYA.”

Begitulah ditunjukkan Allah s.w.t balasan orang yang melewatkan solat. Persoalannya, itu hanya melewatkat solat, maka bagaimana pula halnya orang yang tidak bersolat sama sekali?

Kita bermohon kepada Allah s.w.t semoga Dia memberikan kita Taufik supaya menjadi kalangan orang yang menjaga solat.

***
Demikianlah cerita tentang solat yang ingin saya kongsikan dari hasil pembacaan saya. Sekarang adakah perbezaan pada ilmu dan amal kita setelah setelah membaca kedua-dua cerita di atas? Allah s.w.t terimakah semua solat-solat kita? Bagaimana solat-solat yang tertinggal? Sudah diqadakah? Bagaimana pula selepas-selapas ini? Masih ada masakah untuk kita memperbaiki solat-solat kita? Ada satu hadis yang biasa saya dengar ketika saya masih lagi bersekolah rendah dahulu.

“Perkara pertama yang akan dihisab dari seorang hamba pada hari perhitungan adalah solat. Jika solatnya baik, maka akan baik seluruh amalnya. Jika solatnya rosak, maka akan rosak seluruh amalnya” (diriwayatkan oleh Al-Tirmidhi, Bayhaqi, Nisa’i).

Juga ada satu frasa ayat yang di tuliskan di van jenazah yang membuatkan hati berasa kecut jika saya terlihat.

“Bersolatlah kamu sebelum kamu disolatkan”


Semoga Allah s.w.t sentiasa menjaga iman kita semua *nasihat ini adalah untuk diri saya yang selalu lalai*


No comments:

Post a Comment