Tuesday 7 June 2011

Tetamuku Subuh



Cerpen ini adalah antara risalah-risalah cerpen yang saya simpan dan saya jadikan koleksi. Kalau tidak salah saya, saya dapat risalah cerpen ini sewaktu menyertai ibadah kem satu ketika dahulu. Jom baca cerpen ini. Semoga kita mendapat manfaat atas apa yang saya pernah baca dan saya kongsikan ini.

***
Pada pagi itu, seperti pagi-pagi yang lain, aku menyambut tetamu setiaku.

“Assalamualaikum.” Seru Subuh.

“Waalaikummussalam.” Sahutku.

Dan kami terus berpelukan untuk mengubat kerinduan dan sebagai lambang kasih sayang. Ku tanya khabar Subuh, bagaimanakah keadaannya mengembara dari satu tempat ke satu tempat.

“Tadi…” kata Subuh dengan sayu… “Aku baru sahaja melintasi rumah yang sunyi sepi, tiada satupun yang mahu menerimaku sebagai tetamu.” Airmata Subuh pun berlinang.

“Subuh, usah pedulikan mereka. Bukankah aku menyambutmu dengan penuh kegembiraan?” Subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringatkan sesuatu.

“Oh ya, tadi aku lalu di suatu tempat yang tanahnya disebalik sungai. Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kesukaan. Menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat dan melegakan. Hidangan yang paling aku sukai ialah buah Tahajjud. Puas aku cari di bumi lain, tapi jarang ku jumpai. Di situ, aku meratah buah Tahajjud dengan puas serta leka.” Kemudian, dia merenungku mengharapkan sesuatu. Aku faham maksud Subuh.

“Maaf Subuh, Aku tidak menanam pokok al-Lail. Jadi, aku tidak dapat menjamu mu dengan buah yang engkau sukai, tapi aku mempunyai roti Siyyam,” maklumku kepada Subuh.

Subuh menolak dengan hormat. “Roti itu sudah ada tuan punyanya,” kata Subuh.

“Adakah kau mahu manisan zikir?” Rayuku kepada Subuh.

“Baiklah, ambilkan aku sedikit serta bawakan segelas airmata taubat,” pinta Subuh.

Aku agak sugul. Bagaimana harus aku beritahu kepada Subuh yang airmata tangisan sudah hamper kering akibat kemarau maksiat yang berpanjangan? Namun, aku tetap menjenguk ke dalam perigi yang menyimpan airmata tersebut. Aku terkejut apabila melihat perigi itu telah hampir separuh penuhnya. Dan hatiku berdetik. Adakah ini tandanya kemarau akan berakhir? Tanpa berlengah lagi, aku bawa air itu kepada Subuh, tetamu yang ku sanjung dan ku suakan manisan seperti yang dipintanya. Selesai menjamah semuanya, Subuh pun melirikkan sebuah senyuman.

“Subuh”, seruku. “mahukah kau tinggal selama-lamanya denganku? Aku memerlukan teman di kala kesunyian. Akan ku layan kau dengan sebaik-baiknya, wahai Subuh,”

Subuh tersenyum membayangkan permintaan ku tidak akan di penuhi.

“aku perlu menziarahi ramai orang dan ramai yang memerlukan kehadiranku untuk mengubat rindu sepertimana aku mengulit mimpimu,”

Aku akur dengan penjelasan Subuh. “Subuh.” Seruku lagi apabila melihat Subuh bersiap-siap untuk pergi.
“Sudikah engkau menziarahiku lagi esok hari?”

“InsyaAllah”’jawab Subuh. “Bukankah aku kekasih yang kau rindui?”

Subuh berangkat dengan lambat, tetapi tetap.

“Assalamualaikum,” seru Subuh.

“Waalaikummussalam” jawabku kembali. Mataku terus meniti langkah Subuh yang semakin jauh dan akhirnya, Subuh hilang dari pandangan.

P/s: apa agaknya keluh kesah Zohor, Asar, Maghrib dan Isya’ ya? Sama-samalah kita muhasabah diri.

***
Inilah antara cerpen yang saya akan ulang baca setiap kali saya mengulang baca koleksi-koleksi risalah tazkirah yang pernah saya terima. Sungguh terharu membaca cerpen ini. Bagai terkena batang hidung sendiri. Sungguh rapuhnya iman saya, sungguh sikitnya amalan saya. Adakah saya terdiri dari manusia-manusia yang tidak mensyukuri nikmat Allah s.w.t. Adakah saya tidak takut kemurkaan Allah s.w.t atas dosa-dosa yang pernah saya lakukan? Kini saya sudah kongsikan dengan pembaca-pembaca sekelian. Moga kita dapat manfaat dari peringatan yang diberikan dalam cerpen ini. *ini adalah nasihat untuk diri saya yang selalu lalai*






No comments:

Post a Comment