Wednesday 8 June 2011

Mencari Bahagia



Antara sedar dengan tidak, antara bersedia atau tidak, antara sabar atau tidak, sebagai manusia kita seringkali diuji untuk mengukur tahap keimanan kita kepada Allah s.w.t. Adakah kita bersyukur dengan apa yang Allah s.w.t kurniakan pada kita? Adakah kita bersabar dengan ujian yang Allah berikan pada kita? Sendiri tanya sendiri jawab.

Sebenarnya seringkali terjadi saya "ter"lupa untuk bersyukur dengan kelebihan, kesenangan serta kemewahan yang Allah s.w.t kurniakan untuk saya. Malah lebih teruk lagi, antara sengaja dengan tidak, saya meratapi pemergian nikmat yang di tarik semula oleh Allah s.w.t setelah di pinjamkan Allah s.w.t beberapa ketika. Juga kadangkala saya merintih mengenangkan apakah dosa saya dan mengapakah Allah s.w.t tidak memberi nikmat kesenangan kepada saya seperti kawan-kawan yang lain. Ini jawapan ikhlas dari diri saya sendiri. Jawapan anda seperti saya? Tepuk dada, tanyalah iman masing-masing.

Kalau jawapanya seperti yang diatas, ia memang menunjukkan betapa lemahnya iman seorang manusia. Minta dijauhkan jawapan ini daripada kita-kita semua.

Carilah bahagia kita dengan cara kita sendiri. Bersyukur dengan apa yang ada adalah salah satu cabang untuk kita mencari bahagia. Bersabar dengan kesusahan, kesedihan, kepenatan, keletihan, kesakitan dan segala kepedihan hidup juga adalah cabang untuk mencari bahagia. Bahagia itu datang melalui hati. Jagalah hati, kendalikanlah ia dengan baik.

Bagaimana mencari bahagia? Dibawah ini ingin saya kongsikan kaedah mencari bahagia menurut Al-Qur’an dan As-Sunnah, dipetik dari Majalah Solusi Edisi ke-6.

***


Beriman dan beramal soleh

Sesiapa yang beramal soleh baik lelaki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan. [Surah al-Nahl, Ayat 97]

Ibnu ‘Abbas r.a. meriwayatkan bahawa segolongan ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal (halalan tayyiban).
Saidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qanaah (berasa cukup)
Ali bin Abi Talhah dari Ibn ‘Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu ialah kebahagiaan.

Banyak mengingat Allah

Dengan berzikir, kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekaligus bebas dari rasa gelisah dan gundah-gulana.

Ketahuilah denagn mengingat (berzikir) kepada Allah s.w.t akan tenang hati itu. [Surah al-Ra’d, Ayat 28]

Bersandar kepada Allah s.w.t

Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa.

Siapa yang bertawakal kepada Allah s.w.t maka Allah akan mencukupinya. [Surah al-Talaq, Ayat 3]

Sentiasa mencari peluang berbuat baik

Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk perbuatan ataupun ucapan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah s.w.t, akan memberi ketenangan hati.

Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang (menyuruh) manusia untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan diantara manusia. Barangsiapa yang melakukan hal itu mengharapkan keredhaan Allah s.w.t, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar.[Surah An-Nisa’, Ayat 14]

Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan meratapi masa silam

Fikir, tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan tentang masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah atau kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu, kerana apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula.

Rasullullah bersabda, maksudnya “Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagimu dan minta tolonglah kepada Allah s.w.t. dan janganlah lemah. Apabila menimpa pada kamu akan sesuatu (daripada perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu, tetapi katakanlah: Allah s.w.t telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan. Kerana sesungguhnya kalimat “seandainya” itu membuka kepada amalan syaitan.”[Riwayat Muslim]

Melihat kelebihan, dan bukan kekurangan diri

Lihatlah orang yang dibawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki. Kerana dengan begitu, kita tidak akan meremehkan nikmat Allah s.w.t yang di berikan kepada kita.

Rasullullah bersabda, maksudnya, Lihatlah orang yang dibawah kamu dan janganlah melihat orang yang diatas kamu kerana (dengan melihat ke bawah) lebih mudah untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah s.w.t yang dilimpahkanNya kepada kamu. [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Jangan mengharap ucapan terima kasih manusia

Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan terima kasih atau balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah s.w.t kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada antara hukama berkata, “Sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih dari manusia, nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa.”

Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu hanyalah kerana Allah s.w.t semata-mata, kami tidak berkehendakkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih” [Surah al-Insan, Ayat 9]

***


Sekian huraian ringkas mengenai kaedah mencari bahagia menurul Al-Quran dan As-Sunnah, Bagaimana? Rasa lebih tenang dan bahagia sekarang? Semoga kita sentiasa berada di dalam golongan-golongan insan yang sentia sa bersyukur. *ini adalah nasihat untuk saya yang selalu lalai*




No comments:

Post a Comment